Cubaan Rampasan Kuasa 15 Julai dan Turki

Cubaan Rampasan Kuasa 15 Julai dan Turki

Pada malam 15 Julai 2016 yang lalu, sebuah pertubuhan licik diketuai Fetullah Gulen, atau ringkasnya dikenali sebagai FETO, adalah sebuah pertubuhan yang cukup rapat dan selari dengan Turki, bertindak melakukan cubaan menentang kerajaan dan presiden yang diberi mandat oleh rakyat dengan kemenangan majoriti 52 peratus undian dalam pilihanraya umum Turki. Sejak bertahun-tahun dahulu pertubuhan ini telah menyusup ke bahagian ketenteraan, pasukan polis, kehakiman, agensi perisikan dan beberapa institusi kerajaan yang lain dengan menyatakan ianya sebagai sebuah aktiviti keagamaan dan mempergunakan agama.
Ketelusan merupakan prinsip utama bagi sesebuah demokrasi. Pertubuhan ini bukanlah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana bertindak melaksanakan segala agenda dan aktiviti pertubuhan secara jahat dan menggunakan keganasan. Cubaan menentang kerajaan dan rampasan kuasa ini merupakan bukti jelas bahawa pertubuhan Fetullah Gulen bermatlamat untuk menubuhkan sebuah rejim baru seperti Iran, yang dipimpin oleh Fetullah Gulen sendiri. Pertubuhan pengganas ini telah mewujudkan sebuah rangkaian perisikan global melalui penubuhan sekolah-sekolah swastanya di beberapa buah negara di bawah naungan Amerika Syarikat malah membocorkan rahsia-rahsia negara kepada agensi perisikan asing. Ia sekaligus telah menjadi sebuah rangkaian terbesar yang mengkhianati umat Islam dan bangsa-bangsa lain menerusi penubuhan sekolah-sekolah swasta tersebut di seluruh dunia.

Sebagaimana tragedi berdarah 11 September di Amerika Syarikat, pertubuhan pengganas ini juga telah membunuh dan mengorbankan ramai nyawa insan-insan yang tidak berdosa yang terdiri daripada penduduk awam termasuk kanak-kanak dan wanita. Kereta kebal, jet pejuang, dan helikopter telah melancarkan serangan menggunakan senjata meriam berat dan melepaskan bom terhadap masyarakat awam malah kereta kebal telah melakukan rempuhan ganas, lalu mengakibatkan seramai 241 penduduk awam mati manakala 2000 lagi mengalami kecederaan. Pertubuhan ini jelas berniat jahat dengan melakukan kekejaman dan keganasan untuk menentang penyokong kerajaan yang sah.
Adalah penting dan mustahak untuk diketahui bahawa Islam tidak pernah menyokong sebarang tindakan menguasai institusi-institusi negara secara rahsia dan menggunakan kekerasan. Islam sebagai agama keamanan sangat jelas mengharamkan segala tindakan keganasan dan kekerasan. Al-Qur’an yang merupakan kitab suci agama Islam juga menyebut tentang pengharaman untuk membunuh nyawa walaupun suatu nyawa seperti yang dinyatakan di dalam ayat : ”Barangsiapa membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana berbuat kerosakan di bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh semua manusia”(Al-Maidah : 32). Di Turki, semua lapisan masyarkat diberi kebebasan dan tiada halangan untuk mengamalkan cara hidup beragama. Pertubuhan pengganas ini jelas telah menyalahgunakan nama dan imej Islam dengan cara mengeksploitasi dan meracuni pemikiran masyarakat yang mempercayai mereka dan seterusnya memulakan tindakan keganasan dan kekerasan terhadap kerajaan tanpa menghiraukan prinsip-prinsip Islam yang berpaksikan kebebasan dan keadilan.

Rakyat Turki, yang terdiri daripada 72 bangsa berbeza, menzahirkan semangat juang dan patriotisme mereka dengan menghentikan cubaan rampasan kuasa tentera atas dasar keimanan dan semangat cintakan negara. Mereka  telah membuktikan kepada dunia semangat juang mereka mempertahankan negara dan bergelut demi mencapai kebebasan tanpa berkedip mata dan teguh berdiri menentang kereta-kereta kebal, senjata-senjata perang dan tentera pengganas, dan akhirnya berjaya menyelamatkan kedaulatan negara mereka sehingga terkorban nyawa. Mereka juga membuktikan bahawa keimanan itu adalah sumber kekuatan dan suntikan moral yang tiada tandingan untuk bersama-sama menentang cubaan rampasan kuasa. Sejarah Turki ini sememangnya sarat dengan contoh-contoh kekuatan akhlak serta semangat patriostisme. Parti-parti politik yang mewakili hampir kesemua rakyat Turki telah bersatu menentang rampasan kuasa itu serta berganding bahu melakukan bantahan bersama-sama.

Meskipun konflik rampasan kuasa ini berlaku, ekonomi kami juga tetap stabil dan tidak terjejas malah terus kukuh dan berdaya saing. Kami amat berterima kasih kepada usaha pembaharuan dasar -dasar ekonomi yang dilakukan sejak 15 tahun lalu. Seluruh ahli ekonomi dan para pelabur jelas menunjukkan respon positif untuk terus melabur dan bergiat dalam sektor ekonomi Turki. Oleh itu, Turki pasti akan terus menjadi sebuah negara yang mempamerkan kestabilan ekonomi dan politik sekaligus memacu pelaburan terbesar bagi negara ini, sebagaimana yang dilihat pada pelaburan lapangan terbang ketiga yang kini masih dalam proses pembinaan dengan nilai pelaburan sebanyak USD 50 bilion.
Turki yang merupakan satu-satunya negara yang berjaya mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi di kawasan Timur Tengah, telah cuba dikuasai oleh Pertubuhan ini melalui rampasan kuasa dengan sokongan negara-negara yang berniat jahat. Namun, Turki telah bertindak menjadi perisai yang berkuasa dan mampu menentang mereka yang cuba mecetuskan keganasan dan tindakan tidak berperikemanusiaan di Timur Tengah.
Rakyat Turki yang telah berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa itu hanya dalam tempoh semalaman, akan sentiasa memelihara ekonomi dan kestabilan negara itu. Segala usaha dan cubaan rampasan kuasa ini tidak akan pernah menghentikan atau menangguhkan aktiviti dan usaha rakyat Turki yang terlibat dalam institusi awam mahupun swasta. Mereka akan sentiasa bersiap sedia dan relahati bertindak sebagai “mata-mata” demi memelihara kesejahteraan negara mereka.
Sebagai rakyat Turki, kami mengutuk sekeras-kerasnya cubaan rampasan kuasa ini yang jelas bercanggah dengan nilai keamanan, kemakmuran, kebebasan dan kestabilan. Kami juga mengisytiharkan bantahan kami terhadap segala cubaan rampasan kuasa yang bertujuan untuk memusnahkan semangat demokrasi dan menubuhkan rejim pemerintahan kuku besi.
Anak-anak Anatolia tidak akan pernah diseret ke lembah penderitaan. Panjang umurmu wahai kebebasan, demokrasi dan keamanan!
Pastinya kami akan merasa sangat gembira sekiranya anda memanjangkan risalah ini kepada keluarga dan rakan-rakan.

Rakyat Turki Bersatu Menentang Rampasan Kuasa